Artikel ini saya petik dari Blog Saifulislam.Com untuk rujukan bersama. Topik yang dibincangkan adalah mengenai komunikasi di antara Baginda Muhammad s.a.w dan isteri, Saidatina 'Aishah r.a.
“Aku tahu masa bila engkau redha denganku dan masa bila engkau tidak redha denganku” kata baginda.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbual dengan isterinya Aishah radhiyallahu ‘anha.
“Bagaimana engkau tahu akan hal tersebut?” Aishah menyoal.
“Apabila engkau redha denganku engkau akan berkata: Tidak, demi Tuhan Muhammad! Apabila engkau tidak redha denganku, engkau akan berkata: Tidak, demi Tuhan Ibrahim!” ujar Baginda. Kenyataan daripada seorang suami yang peka.Yang memerhati.
“Memanglah begitu wahai Rasulullah. Akan tetapi aku hanya menghindari namamu!” Aisyah beralasan.
RASULULLAH SEBAGAI PENCINTA
Soalan yang gemar ditanya, bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bercinta?
Hakikatnya cara baginda bersikap dalam percintaan, sama seperti sikap baginda dalam skala kehidupan yang lebih menyeluruh. Seorang insan yang amat teliti dalam interaksi. Peka dengan kemerosotan motivasi anak muda yang dididik seperti kisah Malik bin al-Huwairith. Seorang yang menyantuni pesalah seperti kisah Muawiyah al-Sulami. Dan kisah riwayat al-Bukhari dan Muslim di atas, membuktikan lagi bahawa baginda benar-benar seorang yang menyantuni manusia dengan walyatalatthof.
Seorang suami yang tahu apa yang isterinya suka dan apa yang dia tidak suka. Kalau suka, ada tandanya. Tanpa perlu dikata-kata. Kalau tidak suka, ada tabiatnya. Tanpa perlu disebut-sebut. Jelas bagi yang peka. Yang memerhati. Jika Aisyah suka, beliau menyambutnya dengan ungkapan ‘Tuhan Muhammad’. Dan jika hatinya berat serta tidak menyetujui, beliau menyebut dengan ungkapan ‘Tuhan Ibrahim’. Ada corak yang konsisten pada reaksi Aisyah dalam interaksinya bersama sang suami. Aisyah juga menyantuni Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Pada mengungkapkan rasa tidak setuju, beliau menggunakan sebutan ‘Tuhan Ibrahim’, yakni menisbahkan ungkapan itu kepada insan yang sangat dekat dengan hati suaminya. Ibrahim al-Khalil ‘alayhi al-salaam, amat dekat kepada jiwa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
SUAMI ISTERI YANG PEKA
Teringat saya kepada petikan lirik lagu Dulu Lain Sekarang Lain dendangan SM Salim:
Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Tentu selamat rumahtangga
Nasihat ini hanya dapat difahami oleh suami dan isteri yang peka dengan ‘bahasa tubuh’ pasangan masing-masing. Benda yang isteri tidak suka, tak payah buat. Jangan sesudah buat, ditanya pula “ayang tak suka ke?”Benda yang suami tidak suka, tak perlu minta. Jangan sesudah minta, baru bertanya, “abang tak suka ye?”Isteri yang meneladani Aisyah, tahu apabila dia berbual-bual dengan suami, ada topik-topik tertentu yang apabila dibuka, suami hanya mendiamkan diri tidak membalas apa-apa. Itu sepatutnya sudah cukup untuk memahamkan isteri, bahawa suaminya tidak suka dengan topik yang dibuka itu.
Semalam, hari ini dan mungkin esok-esok juga. Suami yang meneladani Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga tahu apabila dia berbual-bual dengan isteri, apakah yang boleh menyebabkan air muka isteri berubah. Janganlah dibuka tajuk berkenaan jika keperluannya hanya sekadar mahu bersembang mesra. Melainkan ia membabitkan kepentingan atau mudarat yang perlu dibawa kepada perbincangan, maka topik berkenaan disentuh dengan penuh santun.Topik ini menjadi sebahagian daripada keindahan seni rumahtangga Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.Sesuatu yang sukar untuk dihayati, jika antara suami dan isteri panggilan manjanya ialah AKU NKO AKU NKO!
Semoga bermanfaat untuk semua. Sedang menelaah ilmu untuk keperluan masa hadapan walaupun belum tahu bila masanya. Insya Allah, Dia yang Maha Merancang =) Positive thinking untuk keharmonian hidup. Hihi. Sungguh, sulit untuk saya melupakannya kerna ia adalah fitrah.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteMohin share ya. Terima kasih