Thursday, July 9, 2015

Entri Pertama 2015

Fuh! Lama betul tak update blog. Hampir setahun. Terlalu sibuk dengan urusan yang entah bila akan berakhir. Anak saya sudah menginjak usia setahun 28 Jun yang lepas. Alhamdulillah. Pejam celik pejam celik sekejap je masa berlalu.

Dugaan silih berganti tahun ini. 2015 yang penuh dengan pahit manis kehidupan. Cabaran dan dugaan yang mendatang sangat2x menguji kesabaran diri ini. Allahurabbi. Permudahkanlah segalanya ya Allah,

Tiada kata yang saya yakini melainkan segalanya hanya dari Allah. Tiada lagi air mata yang tumpah saat ini kerana saya ada pengubat jiwa yang paling mujarab iaitu Nuha Hafeezah! Ummi sayang Nuha!

Saat ini tiba-tiba rindu arwah abah. Al Fatihah untuk abah. Semoga bahagia di alam sana.

Bersambung di lain entri, insyaAllah.



Ummu Nuha
10/7/2015
23 Ramadan 1436H

Wednesday, December 17, 2014

Today Lunch !

air tangan suami

Ecece, tajuk hari ini ...

Air tangan suami, maksudnya apa ? Suami yang masak hari ini. Isteri balik rumah, makan je. Bertuah sungguh ! Tak pe kan bang, sekali-sekala. haha.

Peluang tak selalu ada. Disebabkan kesuntukan masa dan kesibukan kami yang berkerjaya. Hm pe pun alhamdulillah di atas kurniaan dan nikmat ini. Alhamdulillahhh.

Lauk ayam kukus halia+serai dan sayur campur goreng. Yang bestnya ada brokoli. Hehe. Baru je sebut nak makan. 

Sayang kamu 200%.


Ummu Nuha
17/12/2014

Tuesday, December 16, 2014

Berlapang Dada

Hari ini menulis lagi. Semoga penulisan ini bermanfaat untuk semua. Setiap hari, kita belajar sesuatu yang baru. Dari awal kita dilahirkan sehingga lah pengakhiran hidup kita sebagai insan. Namun, seringkali juga kita alpa. Seringkali kita mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan. Tanpa sedar barangkali. Mungkin ! Insan (maksudnya lupa). Tanya lah siapa saje, semuanya pernah melakukan kesilapan. Tapi awas ! Kita tidak boleh menghukum orang lain disebabkan sesuatu kesilapan yang pernah dilakukan atau diulangi. Kerana kita juga INSAN. Kehidupan ini ibarat roda. Sentiasa berputar. Kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Peringatan untuk diri sendiri.

Hari ini menulis lagi. Sekadar meluah apa yang terbuku di hati. Belajar untuk berlapang dada dalam segenap situasi dan ujian. Belajar untuk menerima sesuatu seadanya. Kita hanya insan biasa. Setiap hari kita belajar sesuatu yang baru. Sesuatu yang akan menjadikan kita matang dari sebelumnya. Pengalaman yang saya lalui banyak mengajar saya erti kehidupan. Tak semua perkara dalam hidup ini perlu kepada latihan yang bertubi-tubi. Tak perlu belajar pun boleh jadi pandai dengan sendirinya. Haha. Ini pegangan hidup saya shj. Contohnya, menguruskan baby yang kecil. Pernah tergambar dalam fikiran saya, bagaimana aku nak menguruskan baby seorang diri ? Menyusukan dia? Memandikan dia? Merawat dia? Semuanya terjadi dengan sendiri. Baby ni dia ada perasaan dengan ibu bapanya tau. Tak percaya ? Laluilah dulu, baru dapat rasa. Sukar untuk digambarkan perasaan itu. Pelik, aneh, dan AJAIB tapi BAHAGIA. Teramat bahagia. Alhamdulillahhh.

Dia penawar segala duka lara ummi. Satu-satunya. Hehe. Bila renung wajahnya, segala duka,letih, lelah,sakit, hilang dengan sendirinya. Allahurabbi. Ummi belajar banyak benda baru bila ada Nuha. Ummi sayang Nuha. Nuha menjadikan jiwa ummi kental. Kuat ! Kalo dulu, air mata mudahnya je mengalir. Pantang diuji sikit, terus je nangis. mcm budak-budak, lepastu call ma kat kampung nangis2x dalam telefon, ahaha, lucu bila teringat kisah dulu. Tapi sekarang ummi dah jadi kuat ! Sebab apa ? Sebab Nuha lah. Ummi kena kuat sebab Nuha perlu ummi kan ? huhu. feeling sedih2x pulak tengah2x hari nie.

Key point sebenarnya nak bagitahu, kena berlapang dada bila berlakunya sesuatu. Jangan cepat panik, nak marah atau bengang kat sape2x. Haha. Tu je, berjela-jela jugak celotehnya. 


#tulispanjang2xnakhilangkanmoodsedihtaktaunakluahkatsape



Ummu Nuha
16/12/2014

Thursday, December 11, 2014

Nuha Hafeezah

Bismillahirrahmanirrahim

Terlalu lama saya meninggalkan blog ini tanpa sebaris coretan. Hari ini hati tiba-tiba terdetik untuk menulis, Menyelongkar segenap ruang blog yang telah dicoret sebelum ini, mengimbau kembali kehidupan saya di masa lalu. Allahurabbi, betapa besarnya nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya tanpa sedar. Alhamdulillahhhhh ...

Cerita hari ini
Alhamdulillah beberapa bulan yang lalu, saya telah selamat melahirkan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Nuha Hafeezah yang bermaksud 'bijak yang dilindungi'. Harapan kami semoga kepintarannya sentiasa dilindungi dari sebarang anasir buruk/jahat yang semakin berleluasa kini. Alhamdulillah, Nuha dah masuk 5 bulan. Pertumbuhannya positif :)

Tiada kata mampu diucap. Terima kasih Allah atas anugerah terindah ini. 

Nuha Hafeezah

Semuanya seakan mimpi. Impian saya untuk 2014 complete ! (✿◠‿◠)
  1. Kerja
  2. Nikah
  3. Suami
  4. Anak
  5. Bisnes
Suami sentiasa menjadi insan terpenting dalam hidup kami berdua. Susah senang dan paling utama dialah sumber motivasi apabila berhadapan dengan ujian. Sentiasa memujuk hati si isteri dengan kata-kata semangat walaupun berjauhan. Terima kasih abang !

Terkadang terfikir di minda untuk menulis satu buku mengenai kehidupan kami. Kerana apa ? Kerana terlalu banyak keajaiban yang berlaku dalam hidup kami di luar jangkaan kami. Kekuasaan Allah Maha Agung. Sesungguhnya benarlah janji Allah, sesiapa yang sentiasa meletakkan harapan dan pergantungan hanya kepadaNya, dia akan memakbulkannya cepat atau lambat. Pasti !.

InsyaAllah

Banyak lagi yang ingin saya ceritakan. 
Sambung di lain masa ya. Semoga dapat menulis lagi. Hehe


Wassalam
Ummu Nuha

Friday, May 23, 2014

Entri Yang Tertangguh

1 April 2014

Kehidupan yang amat2 diuji. Di luar jangkaan saya dan suami. Tarikh ini, kami mula PJJ. Namun perancangan Allah S.W.T mengatasi segala-galanya. Menyelesaikan segala kerisauan dan ketakutan yang sering mengusik hati sanubari ini. Hanya Allah yang tahu betapa beruntungnya memperoleh hikmah di atas ujian ini. Alhamdulillah. Sujud syukur padaMu Tuhan.

Dikelilingi teman-teman yang sentiasa menghulurkan pertolongan di saat saya memerlukan, siapa sangka ? Tidak terlintas di minda ini, seorang perantau yang baru memulakan tugas di sebuah tempat asing, jauh dari keluarga & suami, dilayan sebegini rupa. Allahuakbar. Sungguh benar janjiMu, Ya Allah, tiada pergantungan melainkan hanya padaMu. 

Sokongan kuat dari mama tersayang dan suami serta adik beradik & keluarga, semuanya saya amat2 hargai. Tidak putus-putus memberi nasihat dan dorongan. Air mata tidak henti2 mengalir minggu pertama ditinggalkan. Hehe,nasib tak demam je. 

Di sisi seorang ibu

Tika ini, ummi sedang menanti kehadiran anakanda sulung ummi, peneman ummi saban hari menggantikan abah. Terima kasih sayang kerana sentiasa menemani ummi. Ummi sayang kamu ! ^^ Bakal melangkah ke minggu 37, debaran makin kuat terasa. Semoga perjalananmu melihat dunia dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Semakin kuat juga tendangan dan pergerakan baby yang ummi rasa sehingga tidur ummi tak lena. Hehe.

anakanda ummi di usia 26 minggu

Pemeriksaan di usia kandungan 36 minggu, mesin scan di klinik pulak rosak. Dugaan nak, tak dapat ummi melihat posisi kamu saat ini. Moga-moga kamu berada di posisi yang betul. Ummi sayang kamu.

Tak sabar menantikan kehadiranmu. Ummi sayaaaaang kamu ^^


Coretan bakal ummi
Menunggu kepulangan abah

Wednesday, January 8, 2014

Januari 2014


Tiada kata mampu diucap. Kerna semua yang hadir merupakan anugerah terindah. 
Terima kasih Ya Allah !


Baby saya sudah berusia 17 minggu semasa entri ini ditulis. Bakal memulakan pekerjaan tidak lama lagi. Semoga segalanya berjalan dengan lancar. 

Allahu Musta'an. (^____^)

Saturday, December 21, 2013

Pengalaman bakal ibu

22/12/2013

Hari ini baru berkesempatan untuk mencoret sedikit bingkisan di blog ini. Banyak yang ingin dikongsi sebenarnya kerana banyak peristiwa yang berlaku kebelakangan ini terhadap diri saya sendiri. 

Saya disahkan mengandung pada awal bulan Oktober. Ketika itu usia kandungan 5 minggu. Alhamdulillah pada permulaannya tiada alahan. Namun, tika usia kandungan mencecah 8 minggu, saya mula mengalami morning sickness. Bahkan lebih teruk, saya mengalami mual dan muntah2x sehingga malam hari. Berat badan semakin berkurangan sehingga 40 kg. Huh, dahla underweight, bila mengalami alahan, makin turun berat. Kesian baby =(

Pada 15/12/2013, saya dimasukkan ke hospital selama 3 hari kerana kekurangan air dalam badan. Sadisnya, hehe, pengalaman yang paling tak dapat saya lupakan. Tangan dicucuk jarum, air dimasukkan sebanyak 10 botol. Berat badan ketika ini 38kg. Sekarang tengan gigih untuk kembalikan berat badan semula. Harap2nya berselera lah makan hingga kelahiran nanti. Usia kandungan kini 3 bulan 3 minggu. Alhamdulillah. Semoga selamat hingga kelahiran dan tiada lagi alahan. Amin.

Gambar ni ambik kat google je. Huhu

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai detik2 bakal ibu. Merasai dan melihat sendiri degupan jantung yang berdegup2 di perut. Subhanallah, terasa bahagianya. Besarnya kuasa Allah menciptakan manusia. Semoga perjalanan ini dipelihara oleh Allah sehingga ke akhirnya. 

Beberapa minggu lagi, kami suami isteri mungkin bakal posting kerja. Doa saya semoga kami tidak ditempatkan jauh antara satu sama lain. Huhu.

Doakan kami kawan2 (^____^)

Saturday, August 31, 2013

Dia kesayanganku

Bismillah...

Terlalu banyak cerita ingin diluahkan. Ingin dikongsi dan diceritakan. Tidak punya kesempatan untuk mencoret di blog yang makin sepi ini. Banyak peristiwa2 yang berlaku akhir2 ini sehingga membuatkan saya sedar kuasa Allah itu wujud di mana2 sahaja. 

Tanggal 10 Ogos 2013, bersamaan 3 Syawal 1434H, saya selamat diijabkabulkan bersama pasangan. Berwalikan wakil wali, abah ketika itu uzur. Tika memohon izin untuk bernikah, air mata tidak henti2 mengalir. Entah kenapa, perasaan ketika itu terlalu sayu, sebak, membuatkan saya tidak dapat menahan sebak. Allahu. Abah, tika memberikan izin juga, menangis teresak2 sehingga suasana ketika itu menjadi sayu. Semakin sayu. Entah kenapa ... 

Rupa-rupanya 2 minggu selepas pernikahan, abah pergi meninggalkan kami tanpa kami duga secepat ini abah 'pergi'. Air mata tidak henti2 mengalir. Seakan mimpi. Dan sehingga kini, saya merasakan abah masih ada. Untuk saya kongsikan pelbagai cerita. Saya terlalu rapat dengan arwah. Sejak kecil, saya terlalu rapat dengan abah, saya anak abah. Anak manja abah. Tiada sesiapa pun boleh menggantikan tempat abah ! Arwah abah 'pergi' meninggalkan kami ketika tidur. Tiada siapa sedar pemergiannya. Allah ! Allah ! Allah ! Saya kena kuat !

Abah telah pergi menghadap Ilahi .
Bayangan dan suaranya masih di rasai .

Kerinduan ini tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata .
Entah .
Bagaimana hendak menghuraikan aku sendiri pun tak tahu .

Alhamdulillah , abah di kurniakan rahmat oleh Allah di saat-saat pengkebumiannya .

Senyumannya aku teramat-amat rindu .
Terkadang terbayang-bayang di fikiran .

Duhai abah ku dunia akhirat ..
Berehatlah dengan tenang di sana .
Tiada lagi keletihan dunia yang kau hadapi .

Saya mesti kuat untuk berada di samping ma
Walau ma ketawa , tabah , dan macam tiada apa-apa yang berlaku .
Tapi sebenarnya ma sembunyikan tangisan ma tu .
Ma tak nak orang lain tahu .

Allahu ,
Ringankanlah bebanan kerinduan yang teramat sangat di dada ini .

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu.
Setelah 8 hari 'pemergian' abah, baru saya dapat meluahkan apa yang saya rasa. Tiada siapa yang dapat menggantikannya. Ya Allah, ku mohon Engkau permudahkanlah urusan abah di alam sana.

Ada satu kisah ..
Saya hanya insan biasa. Juga punya perasaan. Ingin dihormati dan difahami. Tidak perlu berbicara banyak untuk meluahkan perasaan tidak puas hati atau tidak suka akan sesuatu perkara. Nabi s.a.w sendiri, apabila baginda tidak menyukai sesuatu perkara, baginda tidak melarang atau menegah. Baginda s.a.w hanya diam tanpa sepatah kata. Iya kan? Mood terkilan.

Sunday, July 7, 2013

Minggu Ketiga

Esok Isnin. Bakal memulakan hari ketiga untuk Latihan Mengajar. Pelbagai cabaran dan dugaan untuk 2 minggu yang telah berlalu. Pada minggu kedua LM, penyelia kami telah datang untuk meninjau keadaan kami. Alhamdulillah, komen2 positif dan membina dititipkan kepada kami berdua. Saya hanya mampu berdoa semoga minggu2 seterusnya akan cepat2 berlalu. Saya ingin pulang ke kampung ! Huhu.

Keadaan abah yang makin uzur seringkali membimbangkan kami sekeluarga. Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba2 Nya. Semoga Allah S.W.T memelihara abah kami. Panjangkanlah usia abah dan ma dalam kebaikan dan keberkatan. Amin. Diharap sahabat2 semua doakan ye.


Friday, June 21, 2013

Doakan kami !

Keseorangan malam ini. Terasa ingin menulis di kanvas yang makin sepi ini setelah berhempas pulas mengemas barang2 untuk Latihan Mengajar. Penat, letih, semput, semuanya ada. Berjalan kaki di Majid Jamek dan Jalan TAR dalam keadaan yang panas terik, dengan membawa barang2 yang agak berat (tersangat berat sebenarnya) amat2 menguji kesabaran saya. Huhu. Perkara itu sudah menjadi lumrah hidup saya sejak dari tahun 3 lagi di alam pengajian. Menambah sumber pendapatan semasa alam pengajian. Berbisnes kecil-kecilan. Setiap minggu (kadang2 3 kali seminggu), saya akan restok barang2 jualan. Alhamdulillah, Allah sentiasa cukupkan rezeki pada hambaNya yang berusaha :) Untuk senang, tidak senang untuk mendapatkannya. Perlu ada pengorbanan.

Hee, akhirnya masa untuk LM tiba juga kan ? 4 tahun menanti dengan penuh debaran. Tiba2 bila dah tiba masa, macam tak rasa apa-apa pulak. Pelik. Toink-toink :)

Sudah selesai menemui penyelia kami, sedikit bersemangat saya rasakan. Cuma satu yang saya pegang, "Jadi diri sendiri ! Kamu mengajar bukan masa LM sahaja, tapi 10, 20, 30 tahun akan datang ... ". Nice ! Baiklah ustaz. Insya Allah kami akan buat yang termampu :)

Doakan kami !

Tuesday, June 11, 2013

Semput

Saya merasakan masa makin suntuk. Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat ini. Dalam keadaan kesihatan abah yang uzur, perasaan bimbang seringkali menerjah. Hati sering resah. Segalanya mungkin berlaku. Lindungilah seluruh ahli keluarga kami dan panjangkanlah usia abah dan ma dalam kebaikan dan keberkatan. Allahu amin.

Berbaki seminggu sahaja lagi untuk menghadapi LM, latihan mengajar di SMK Bandar Baru Ampang. Semoga Allah mempermudahkan urusan kami berdua. Sungguh, kita akan diuji dengan perkara yang tidak kita jangkakan sama sekali. Hanya sebulan lebih lagi untuk bertukar status. Semoga Allah cukupkan kami dengan apa adanya. Allahu Musta'an.

Ada satu kisah yang ingin saya ceritakan. Tentang perjalanan hidup saya. Belum masanya lagi untuk bercerita. Huhu. Bersambung di lain entri ye.

Thursday, May 30, 2013

Not In Mood

Hari terakhir di Universiti Malaya sebelum menduduki imtihan buat terakhir kalinya. Masih tiada mood untuk menulis di kala ini. Malam ini insyaAllah musafir ke kampung. Semoga dipermudahkan segala urusan.

Semalam, ada sedikit jamuan meraikan teman2 sepengajian. Alhamdulillah syukur dengan nikmat yang dikurniakan Ilahi.


Hidangan kami


Jamuan terakhir bersama teman2. Alhamdulillah (◕‿◕)


Saturday, May 25, 2013

Bahagia (✿◠‿◠)

Memberi membuatkan hati saya bahagia (✿◠‿◠) . Anda tahu kan bagaimana rasanya bahagia ? Oh indahnya. Alhamdulillah ! Saya sentiasa memohon doa agar dimurahkan rezeki kerana saya suka memberi. Anda bagaimana ? Saya bahagia apabila dapat membahagiakan orang lain lebih2 lagi keluarga saya sendiri.

Saat-saat genting begini .. opss maksud saya, di akhir semester begini, saya sedang berhempas pulas untuk menyelesaikan suatu perkara. Dan yang mampu saya doakan, saya akan mencapai 'target'. Biarlah ia menjadi rahsia peribadi saya sahaja. Semoga Allah S.W.T permudahkan. Amin.

Seminggu terakhir untuk sesi kuliah dan tutorial. Minggu ini ! Dan yang terakhir di Universiti Malaya. Sobs, sobs. Sedih juga ye. Banyak suka duka telah dilalui. Nanti akan saya ceritakan.

Bersambung di lain entri jika berkesempatan insyaAllah ..


Friday, May 10, 2013

Khabar Gembira

Alhamdulillah wa syukrulillah .. 

Alhamdulillah kerana saya masih diberi kesempatan untuk menulis catatan di laman ini setelah sekian lama menyepi. Ada khabar gembira saat ini namun biarlah masa yang mengkhabarkan kepada kalian semua :) Benarlah Allah S.W.T menguji kerana dia sayang hambaNya kan? Hikmah di sebalik ujian2 yang saya lalui sebelum ini semakin tersingkap kini. Alhamdulillah. Sujud syukur seorang hamba yang dho'if ini kepada Mu. Allahuakbar :)

Tahun ini, merupakan tahun terakhir saya berada di universiti. Hampir 6 tahun saya berada di alam universiti. Namun, ilmu terasa terlalu cetek dan sedikit. Seakan masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Ya, masih banyak yang perlu dipelajari. Pengalaman hampir 6 tahun di alam universiti banyak mematangkan saya. Daripada tidak tahu apa-apa, kini telah boleh berdikari dengan jayanya dengan izin Allah. Alhamdulillah. Cara pergaulan, komunikasi, beramah mesra, dan banyak lagi menjadikan saya lebih matang daripada sebelumnya walaupun kadang2 ada jugak yang tak matangnya. Hihi.

Sekarang, saya berada di tahun akhir, berbaki 3 minggu lagi pengajian, seterusnya akan menghadapi final exam untuk yang terakhir kalinya. Doakan ye :). Bermula 23-06 hingga 30-08 saya akan menjalani Latihan Mengajar (LM) di SMK Bandar Baru Ampang bersama teman saya sejak di Nilampuri lagi. Semoga dipermudahkan urusan kami berdua dan juga rakan2 seperjuangan yang lain. Allahu Musta'an.

Perjalanan seorang hamba tidak akan indah jika tiada ujian yang menanti. Mohon doa2 dari semua untuk kesembuhan abah saya yang sedang sakit. Semoga diberikan keteguhan iman dan dikuatkan semangat oleh Allah S.W.T untuk menghadapi ujian yang ditimpakan ke atasnya dengan hati yang redha. Syafahullah. Juga semoga seluruh ahli keluarga saya diberi kekuatan untuk melalui ujian ini.

Ini gambar perkahwinan kakak sulung saya 2 tahun lepas :) Mungkin tahun ini boleh upload gambar perkahwinan saya pulak kan? Hihi

Redha Allah S.W.T terletak pada redha kedua ibu bapa kita. Semoga kedua ibu bapa kami meredhai kami berdua dan adik beradik kami. Dan semoga urusan kami semua dipermudahkan :)

Amin. Doakan ! (",)

P/S :Selamat Hari Lahir untuk si dia. Terima kasih untuk segalanya...

Saturday, May 4, 2013

Sujud Syukur

Alhamdulillah, sujud syukur ku pada Mu di atas segala kurniaan yang Engkau berikan di saat kami sedang dalam kedukaan begini. Alhamdulillah semoga urusan kami seterusnya dipermudahkan :)

Friday, January 25, 2013

Aura positif 2013

Bismillah... 

Entri untuk 2013, baru berkesempatan untuk menaip di kanvas yang makin sepi ini, banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini membuatkan saya terfikir apa kesudahannya jika terus-terusan dalam aura atau lingkungan pemikirann yang negatif? Tiada manfaat langsung ! Jadi, azam tahun 2013, tinggalkan jauh-jauh aura negatif, biarkan aura positif yang mempengaruhi diri, semoga bermanfaat untuk diri dan semua. Insya Allah. 

Di antara impian dan cita-cita 2013 :

1. Pertingkatkan amalan
2. Habiskan pengajian dengan cemerlang
3. Latihan Mengajar yang sukses
3. Bahagiakan keluarga
4. Kumpul duit banyak2
5. Perkembangkan bisnes
6. Nikah

Dahulukan yang lebih aula, semoga Allah S.W.T memberi kemudahan dan pertolongan, insyaAllah. 
Positif ! Positif ! Positif !




Wednesday, September 19, 2012

Saat Penentuan

Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk meneruskan pengajian di tahun akhir ini. Semoga segalanya berjalan lancar dengan izinNya. Beberapa hari lagi adalah saat penentuan kepada satu perhubungan. Mudah-mudahan hati ini redha dengan apa jua keputusan. Allahu musta'an. Tiada daya saya untuk menolak kehendakNya.

Semoga Allah S.W.T memberi kesembuhan kepada kesihatan abah dan ma, mengurniakan kesihatan yang baik kepada semua ahli keluarga, juga moga2 keluarga dijauhkan daripada hasad dengki manusia lain, dilindungi daripada pandangan negatif masyarakat, dan mudah-mudahan Allah melancarkan segala urusan kami ke arah kebaikan. Penantian itu sesuatu yang menyeksakan. Menunggu dan terus menunggu. Saya hanya mampu berdoa kepadaNya. Dia yang Maha Mendengar rayuan hambaNya.

Allahuakbar. Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya...


Monday, August 13, 2012

Dia hanya pinjamkan untuk sementara cuma

Kadang2 puas kita berfikir kenapa jadi begitu? Kenapa jadi begini? Sedangkan kita sering alpa & leka segala ketetapan telah direncanakan oleh Sang Pencipta. Sering juga kita mengungkapkan, Oh! tak patut jadi begini, kita dah bla, bla, bla .. Namun kita seringkali lupa Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Semuanya ada hikmah yang tersendiri. 

Dugaan Ramadan kali ini buat kami sekeluarga. Mudah2 an ia menjadi maghfirah kepada kami dari dosa2 lalu. Kita bukan siapa-siapa untuk mengatakan ini tak betol, ini salah, itu tak sesuai dan sebagainya. Kita hanya seorang hamba. Muhasabah diri dari post2 saya yang terdahulu, jujur dan saya sedari, tindakan saya selama ini kurang kewajarannya dan sepatutnya tidak begitu.

Merenung kesilapan lalu, di akhir ramadan ini ...

Saya hanya berserah kepada ketentuanNya. Dia sebaik2 perancang. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan kami. Lapangkan rezeki kami juga Ya Allah.



Friday, August 3, 2012

Hikmah Kehidupan

Termenung lagi .. merenung jauh tanpa hala tuju. Hikmah apa yang dirahsiakan di sebalik aturan ini. Allahurabbi. Dunia ini semakin menghimpit. Tanpa wang, fulus, duit atau seumpamanya, jangan merancang apa2 kerana semuanya perlukan semua itu. Titik.

Semalam, sahabat saya selamat melahirkan 'baby girl' . Tahniah sahabat. Mudahnya urusan dia. Alhamdulillah. Termenung lagi, hikmah apakah yang Dia aturkan untuk saya ;(


Dua minggu sebelum ramadhan yang lepas, x rumate saya selamat diijab kabulkan bersama pasangannya. Tahniah Farah & pasangan :) . Termenung lagi, hikmah apakah yang Dia aturkan untuk saya ;( 


Sedang membelek2 'muka buku', ditemukan dengan gambar pertunangan sahabat. Bahagianya dia. Tahniah Erny & bakal pasangan.


Beberapa hari yang lepas, dikejutkan dengan khabar dari sahabat. Katanya akan melangsungkan pernikahan pada hari raya nanti yang awalnya akan dilangsungkan bulan Januari tahun depan. Pabila ditanya, jawabnya sudah sampai seru. Allah ! Termenung lagi, hikmah apakah yang Dia sedang aturkan untuk saya ;(

di hari pertunangan

Semuanya adalah di kalangan sahabat yang dekat dengan saya. Sering memujuk hati untuk sentiasa bersangka baik dengan segala aturanNya. Kepada siapa lagi hendak saya mengadu melainkan hanya kepadaNya kerana Dia yang memegang hati2 manusia. Allahumma yassir kullu amrina. Tiada daya saya untuk menidakkan segalanya. Allahu musta'an.


Kecewa dan amat kecewa ... 
terlalu lama menyimpan keluhan =(


Thursday, July 12, 2012

E.G.O


Nothing to Display