banyak pembentangan tertunda
di sebabkan ketidaksesuaian masa mungkin
Tertunda lagi. Insya Allah ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Kita manusia yang hanya mampu merancang. Sebaik mana pun perancangan kita tidak mampu mengatasi kuasa Ilahi. Kerana Dialah sebaik-baik perancang. Allahuakhbar.
Teringat tadi saya ada membaca satu artikel yang agak menarik. Ingin saya kongsikan di sini dilema seorang insan bergelar wanita. Yang masih menanti cinta seorang lelaki. Cinta yang diredhai Allah. Di bawah ini merupakan komen kaunselor : Dr. Sapora Sipon, marilah kita menghayatinya..
SEBAGAI insan biasa, memang lumrah berasa dicintai dan mencintai. Manusia mempunyai fitrah untuk memerlukan dan menguasai selain ingin merasa bebas dan seronok.
Keseronokan wujud dalam bentuk keperluan untuk bermain, berehat, ketawa, gembira dan sebagainya.
Sebagai manusia yang mampu membuat pilihan, segala rasa di atas boleh dijuruskan ke jalan diredai. Cinta pula fitrah yang ada dalam hati setiap manusia. Justeru apabila perasaan cinta tidak dipenuhi, jiwa merasa kosong seperti konflik dialami adik. Konflik bertambah apabila rakan dan masyarakat sekeliling mula sibuk mempersoalkan siapa jodoh adik.
Hakikatnya, adik masih belum ada calon jodoh kerana berpegang kepada prinsip iaitu hanya inginkan sebuah cinta selepas bernikah. Antara keinginan memenuhi permintaan rakan dan masyarakat (mengenai siapa jodoh adik) dengan prinsip diri mengenai cinta (bercinta selepas kahwin), membuntukan pemikiran dan jiwa adik.
Dr amat menghargai prinsip adik mengenai cinta dan sentiasa mendoakan akan menemui cinta diredhai Allah.
Persoalan sama ada lelaki takut untuk mendekati adik kerana bijak dan pelajar jurusan agama serta berlatar belakangkan keluarga kuat agama adalah persoalan yang hanya akan menambahkan kekecewaan dan kesedihan adik mengenai soal jodoh. Ini kerana persoalan di atas tiada jawapannya. Kerap bertanya seolah-olah menghukum diri dan tidak menerima ketentuan hidup. Soal jodoh adalah soal ketentuan llahi dan tiada manusia mengetahui jawapan sebenar. Ia akan hadir pada waktunya waktunya. Dr memahami betapa adik malu dan buntu apabila masyarakat mula bercakap soal jodoh. Lumrahnya apabila keluarga, rakan-rakan dan masyarakat mula menilai dan bertanya mengenai soal perkahwinan, ia akan memberi tekanan.
Rakan dan masyarakat, walaupun ada kalanya bertanya mengenai jodoh hanya sekadar suka-suka, ia boleh melukai hati dan sensitif bagi orang yang ditanya.
Terlalu memikirkan apa yang diperkatakan mengenai soal jodoh akan menambahkan konflik. Adik boleh memujuk hati dengan mengatakan hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah saja yang dapat menentukan siapa jodoh adik. Adik juga boleh mengurangkan kerisauan mengenai jodoh dengan mengubah cara berfikir, antaranya tidak perlu berkahwin hanya untuk menutup mulut orang lain, tidak perlu berkahwin dalam usia muda, walaupun lambat adik akan berpuas hati apabila dapat jodoh yang memenuhi ciri lelaki pilihan dan perkahwinan adalah untuk selama-lamanya, justeru tidak perlu tidak perlu tergesa-gesa.
Ubah pemikiran dengan menganggap apabila rakan dan masyarakat bertanya mengenai jodoh, ia dilakukan atas dasar sifat ingin tahu, bukannya membuat penilaian atau memaksa adik mendapat jodoh. Sifat ingin tahu memang sentiasa ada dalam diri manusia. Jawapan yang adik berikan juga membantu adik mengurangkan pertanyaan serupa.
Prinsip adik mengenai cinta memberi kesan. Adik dianggap seorang yang memilih dan cerewet dalam soal jodoh. Seterusnya, sikap adik yang mendiamkan diri setiap kali bekas teman lelaki, A bertanyakan persetujuan, mungkin disalah anggap.
Adik dianggap tidak berminat kepadanya. Walaupun, ada kalanya, kesan prinsip ini membuat adik sedih, secara rasionalnya itulah yang akan berlaku. Untuk menemui lelaki yang benar-benar dapat memenuhi ciri pilihan bukan mudah. Namun, apabila adik menemui lelaki itu dan seterusnya cinta selepas bernikah, adik diberkati dan dirahmati dengan cinta yang tulus dan suci.
Bersendirian tidak semestinya kesunyian. Tidak mempunyai jodoh tidak perlu membuatkan adik merasa sentiasa sunyi.
Sebagai pelajar bijak dan perwatakan menarik, banyak perkara positif boleh dilakukan. Contohnya, boleh meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi, terbabit dalam aktiviti-aktiviti persatuan di universiti, membabitkan diri dengan badan amal dan sebagainya.
Sentiasa mohon doa agar dipertemukan cinta yang suci dan lelaki beriman. Membabitkan diri dengan perkara positif, mungkin untuk berjumpa lelaki yang mempunyai personaliti diingini lebih tinggi. Semoga adik menemui cinta diredai Allah.
No comments:
Post a Comment